Jumaat, 23 Ogos 2019, 22 Zulhijjah 1440H Waktu Solat:
KL Imsak 5:43 | Subuh 5:53 | Syuruk 7:09 | Zohor 1:19 | Asar 4:32 | Maghrib 7:24 | Isyak 8:35

Mudarabah Antara Bank


Takrif Mudarabah Antara Bank: Mudarabah Antara Bank ialah urus niaga pasaran wang borong yang disediakan sebagai instrumen pengurusan mudah tunai dalam Pasaran Wang Islam. Berdasarkan konsep perkongsian untung, cirinya termasuk semua tetapi tidak terhad kepada yang berikut:

  • Pulangan hanya ditentukan pada tarikh matang
  • Tempoh matang yang tetap
  • Profil risiko diketahui
  • Wang pokok tidak dijamin

Akaun Pelaburan:

Akaun yang membolehkan wang dibayar dan diterima untuk tujuan pelaburan, termasuk untuk peruntukan pembiayaan, mengikut prinsip Syariah berdasarkan syarat bahawa tidak ada obligasi yang nyata atau yang tersirat untuk membayar balik wang tersebut sepenuhnya dan

a) sama ada hanya keuntungan, atau keuntungan atau kerugian, selepas ini, hendaklah dikongsi antara pihak yang membayar wang dengan pihak yang menerima wang itu; atau

b) dengan atau tanpa apa-apa pulangan.

 

Akaun Pelaburan Tidak Terhad :

Jenis akaun pelaburan yang dengannya pelabur membenarkan Bank melaburkan dana mereka dalam aset patuh Syariah tanpa menetapkan apa-apa sekatan atau syarat ke atas pengurusan dana tersebut.

Konsep Syariah yang diterima pakai Mudarabah (perkongsian untung):
Suatu bentuk perkongsian antara pihak yang menyumbangkan modal (rabb al-mal/penyedia modal) dengan pihak lain yang menyumbangkan usaha dalam bentuk kemahiran pengurusan (mudarib/pengurus). Keuntungan daripada hasil perkongsian itu dikongsi antara penyedia modal dengan pengurus mengikut nisbah perkongsian untung yang dipersetujui bersama, manakala kerugian pula akan ditanggung sepenuhnya oleh penyedia modal, dengan syarat kerugian tersebut bukan disebabkan oleh kecuaian atau pelanggaran syarat tertentu oleh pengurus.
Ciri Mudarabah Antara Bank ialah usaha sama antara dua rakan niaga antara bank apabila bank lebihan melabur atau meletakkan dana dengan bank defisit. Kedua-dua pihak akan berunding dan bersetuju tentang amaun, tempoh pelaburan dan nisbah perkongsian untung. Apa-apa kerugian mesti ditanggung oleh pelabur. Bank penerima juga tidak akan menjamin amaun wang pokok pelabur dalam aktiviti pelaburan. Keuntungan akan dibayar pada tarikh matang berdasarkan kadar kasar semasa bank penerima dan nisbah perkongsian bagi bank pelabur tersebut.
Jenis Mudarabah Antara Bank Terdapat empat jenis Mudharabah Antara Bank:

  • Peletakan Mudarabah Antara Bank (MIP)

MIP merujuk pelaburan Bank berdasarkan Mudarabah kepada bank penyertaan yang lain.

  • Penerimaan Mudarabah Antara Bank (MIA)

MIA merujuk penerimaan pelaburan berdasarkan Mudarabah oleh Bank daripada bank penyertaan yang lain.

  • Peletakan Mudarabah Asing (FMIP)

FMIP merujuk pelaburan Bank dalam mata wang asing berdasarkan Mudarabah daripada bank penyertaan lain.

  • Penerimaan Mudarabah Asing (FMIA)

FMIA merujuk penerimaan pelaburan mata wang asing oleh Bank berdasarkan Mudarabah daripada bank penyertaan yang lain.

Nisbah Perkongsian Untung Boleh runding
Amaun Minimum Boleh runding
Tempoh Minimum Sehari hingga maksimum 10 tahun
Pelabur yang Layak (Penilaian Kendiri Kesesuaian )
  • Semua institusi kewangan yang diberikan status ‘antara bank’ oleh BNM dan dibenarkan untuk berdagang melalui pasaran sekunder tempatan.
  • Semua institusi kewangan asing yang dibenarkan.
Pengesahan Pelaburan Pengesahan pelaburan Mudarabah Antara Bank yang anda terima (sama ada daripada Bank atau daripada broker Bank) akan membentuk kontrak yang mengikat. Keuntungan yang dijana daripada Mudarabah Antara Bank akan dikongsi mengikut nisbah perkongsian untung yang telah dipersetujui. Kerugian (jika ada) akan ditanggung oleh pelabur dan Bank tidak menanggung mana-mana bahagian daripadanya melainkan kerugian tersebut disebabkan oleh salah laku, kecuaian atau pelanggaran kontrak oleh Bank. Sila maklumkan kepada Bank dengan segera jika terdapat apa-apa percanggahan dalam kandungan pengesahan pelaburan tersebut. Jika Bank tidak menerima pengesahan anda dalam tempoh tujuh (7) hari dari tarikh pengesahan kami, Bank akan menganggap urus niaga yang disahkan itu sebagai betul dan teratur.

Pemberitahuan Penting: Kandungan jadual di atas, iaitu butiran tentang Nisbah Perkongsian Untung, Amaun Minimum dan Tempoh Minimum adalah tertakluk kepada pindaan mengikut budi bicara mutlak Bank, dan pelanggan perlu mendapatkan pengesahan daripada Warga Kerja Jualan Perbendaharaan sebelum membuat apa-apa keputusan berdasarkan maklumat di atas.

Dengan membuat permohonan untuk IIA Mudarabah, pelanggan memahami ciri kesan kerugian atau pemindahan kerugian dalam kontrak Mudarabah dan mengakui bahawa Bank boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap pelabur bagi menguatkuasakan haknya.

Untuk butiran lanjut, sila hubungi Perbendaharaan, Bahagian Pengurusan Liabiliti Aset kami melalui talian 03-2090 1610 / 1611.

Nota: Maklumat yang terkandung dalam dokumen ini adalah tepat pada masa penerbitan dan tertakluk kepada pindaan menurut kaedah, peraturan atau garis panduan berkaitan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia dari semasa ke semasa. Semua produk yang ditawarkan oleh Bank Islam adalah tertakluk kepada Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan mana-mana undang-undang terpakai yang berpunca daripadanya.

Print Friendly