Selasa, 24 September 2019, 24 Muharam 1441H Waktu Solat:

SnapNPay


Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) hari ini memperkenalkan kaedah baharu “SnapNPay” bagi memudahkan pengguna menyalurkan sumbangan ke Sadaqa House, iaitu satu inisiatif Kewangan Sosial yang telah dilancarkan oleh Bank Islam pada awal tahun ini.

SnapNpay adalah aplikasi mudah alih yang dibangunkan oleh SnapNPay LLP bagi membolehkan orang ramai membuat bayaran menggunakan enjin FPX dengan mengguna pakai maklumat atau data yang disenaraikan oleh pelanggan (penerima) dalam mod kod QR atau kod Bar. Pengguna hanya perlu memuat turun aplikasi SnapNPay dari Playstore (Android – sudah tersedia) atau Appstore (Apple – menjelang Januari 2019) secara percuma tanpa sebarang pendaftaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Islam, Encik Mohd Muazzam Mohamed berkata, “Ciri yang terbaik adalah, sesiapa sahaja boleh membuat urus niaga ini, kerana satu kod QR boleh menampung kesemua 17 bank FPX di Malaysia, lantas ia menghapuskan keperluan untuk menghasilkan pelbagai kod QR daripada bank-bank individu dan bayaran adalah berdasarkan masa nyata (real time).”

“Hari ini, kami telah menggabungkan teknologi dan penyelesaian Syariah dalam menyampaikan perkhidmatan yang selari dengan aliran digital semasa. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada pelan digital Bank Islam dalam memastikan keselesaan, perkhidmatan yang berkesan dan berimpak tinggi dengan pelaksanaan yang mudah,” tambah beliau. Perkhidmatan SnapNPay juga akan diperluaskan kepada platform iSadaqah untuk pelanggan atau orang ramai membuat sumbangan kepada masjid dan surau yang terlibat serta platform iPBT untuk Pihak Berkuasa Tempatan agar pengguna boleh melakukan pembayaran seperti cukai tanah dan cukai pintu dengan mudah. Bagi iPBT, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) telahpun mula menggunakan SnapNPay sebagai salah satu daripada medium pungutan bayaran mereka sejak Ogos 2018.

Sadaqa House adalah platform pendanaan awam (crowdfunding) Islam pertama seumpamanya yang telah dilancarkan oleh Bank Islam pada 19 Januari 2018. Ia membolehkan sumbangan daripada orang awam dibuat menerusi saluran-saluran platform digital Bank Islam sedia ada seperti Perbankan Internet, Perbankan Mudah Alih-i TAP, Kad Kredit-i Bank Islam dan melalui kaedah baharu SnapNPay ini ke akaun Sadaqa House. Seterusnya dana yang dikumpulkan ini akan disalurkan bagi merealisasikan projek-projek kewangan sosial untuk sektor yang kurang mendapat perhatian seperti kesihatan, pendidikan dan pemerkasaan ekonomi serta alam sekitar. Orang awam, tempatan mahupun luar negara, boleh menyumbang sebarang jumlah wang ke dalam akaun dana Sadaqa House. Dana itu kemudiannya akan diedarkan kepada mereka yang memerlukan dan dikenal pasti oleh Jawatankuasa Zakat dan Kebajikan Bank Islam setelah melalui proses usaha wajar.

Individu yang ingin menyumbang ke arah kejayaan projek yang telah dikenal pasti ini, boleh menyalurkan dana melalui aplikasi SnapNPay. Sumbangan juga boleh dilakukan melalui www.globalsadaqah.com/sadaqahouse, Perbankan Internet Bank Islam atau pindahan dana IBG / IBFT dari akaun bank lain ke akaun Bank Islam Sadaqa House bernombor, 14014010188888.

Berikut adalah kempen pendanaan semasa di bawah Sadaqa House:

  • Yayasan Institut Jantung Negara (IJNF) – membiayai kos rawatan kanak-kanak pesakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN)
  • Yayasan Sultanah Bahiyah – untuk menyediakan bantuan kewangan kepada usahawan wanita dari golongan yang kurang bernasib baik di Kedah
  • Universiti Teknologi Malaysia – membiayai sistem solar untuk komuniti Orang Asli di Kampung Woh Intake, Tapah, Perak

Bank Islam mengalu-alukan orang ramai yang mempunyai projek-projek sosial berdaya maju serta memberi manfaat kepada masyarakat terpinggir untuk menghantar cadangan kepada sadaqahouse@bankislam.com.my untuk dipertimbangkan.

Print Friendly, PDF & Email