Sabtu, 23 November 2019, 26 Rabiulawal 1441H Waktu Solat:

Tadbir Urus Korporat


1.1 Komposisi Lembaga Pengarah

Pada 31 Disember 2013, Bank Islam mempunyai tujuh (7) ahli Lembaga Pengarah yang terdiri daripada seorang (1) Pengerusi bebas bukan eksekutif, seorang (1) Pengarah Urusan dan lima (5) pengarah bukan eksekutif. Empat (4) daripadanya merupakan pengarah bebas. Komposisi terkini Lembaga Pengarah ini mematuhi Garis Panduan BNM berkaitan dengan Tadbir Urus Korporat untuk Bank-Bank Islam Berlesen (BNM/GP1-i). Lebih daripada satu per tiga pengarahnya merupakan pengarah bebas yang mewujudkan sekatan dan imbangan yang berkesan dalam fungsi Lembaga Pengarah.

Lembaga Pengarah terdiri daripada individu daripada pelbagai latar belakang dan pengalaman profesional seperti ekonomi, perbankan, kewangan, perakaunan dan undang-undang. Berdasarkan pengalaman mereka yang luas, ahli Lembaga Pengarah membawa bersama mereka pengetahuan, kepakaran dan perspektif yang berharga untuk mencapai objektif dan visi Bank Islam.

1.2 Kod Tataetika

Para pengarah Bank mematuhi Kod Tataetika berdasarkan Tatakelakuan yang perlu dipatuhi oleh pengarah institusi kewangan seperti yang ditetapkan dalam Garis Panduan Tatakelakuan Pengarah, Pegawai dan Kakitangan (BNM/GP7), Akta Syarikat 1965 dan Tataetika Pengarah Syarikat yang digariskan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

Tataetika bagi Pengarah Syarikat, antara lain, menekankan kriteria yang perlu dipatuhi oleh pengarah syarikat untuk melaksanakan tugas mereka:-

(a)    Pengarah hendaklah pada setiap masa bertindak dengan niat baik terhadap syarikat dalam apa-apa urus niaga serta jujur dan bertanggungjawab dalam menggunakan kuasanya ketika melaksanakan tugas;

(b)   Pengarah hendaklah peka terhadap kepentingan pemegang saham, kakitangan, pemiutang dan pelanggan syarikat; dan

(c)    Pengarah hendaklah memastikan bahawa aktiviti dan operasi syarikat tidak menjejaskan kepentingan dan kesejahteraan masyarakat secara amnya.

1.3 Peranan Pengerusi dan Pengarah Urusan

Peranan Pengerusi dan Pengarah Urusan ditetapkan dan dibezakan dengan jelas. Perbezaan ini adalah untuk memastikan keseimbangan kuasa dan autoriti bagi memberikan pemahaman dan pengagihan tanggungjawab dan akauntabiliti yang lebih jelas. Pengerusi bersama dengan seluruh Lembaga Pengarah bertanggungjawab menetapkan rangka kerja dasar untuk operasi Pengurusan. Peranan Pengerusi termasuklah yang berikut:-

(a)    Memberi kepimpinan untuk mencapai prestasi keseluruhan bagi memenuhi matlamat dan objektif korporat Bank Islam;

(b)   Memastikan tanggungjawab Lembaga Pengarah, Jawatankuasa Lembaga Pengarah dan setiap pengarah difahami dengan jelas oleh Lembaga Pengarah dan setiap ahlinya serta dilaksanakan dengan berkesan; dan

(c)    Mewujudkan hubungan kerja yang berkesan dengan pihak Pengurusan. Pengarah Urusan mempunyai tanggungjawab eksekutif yang menyeluruh dalam operasi harian Bank Islam yang merangkumi pelaksanaan dasar dan strategi yang diterima pakai oleh Lembaga Pengarah, memastikan Lembaga

Pengarah sentiasa dimaklumkan sepenuhnya tentang semua aspek penting berhubung dengan operasi Bank, dan memastikan maklumat yang mencukupi disampaikan kepada ahli Lembaga Pengarah. Pengarah Urusan juga memikul tanggungjawab utama untuk memastikan kecekapan pengurusan termasuk menyediakan pelan penggantian yang berkesan bagi mengekalkan kesinambungan.

1.4 Tugas dan Tanggungjawab Utama Lembaga Pengarah

Terma Rujukan Lembaga Pengarah menyatakan bahawa Lembaga Pengarah memainkan peranan penting untuk memastikan dasar dan amalan yang baik dan berhemat dilaksanakan di Bank. Ia menyediakan mekanisme sekatan dan imbangan yang berkesan dalam keseluruhan pengurusan Bank. Lembaga Pengarah memikul tanggungjawab mutlak bagi menentukan kepimpinan Bank yang wajar. Ia bertanggungjawab memastikan nilai pemegang saham yang optimum dan melindungi kepentingan pihak berkepentingan. Lembaga Pengarah mempunyai tanggungjawab fidusiari untuk bertindak demi kepentingan Bank.

Tugas dan tanggungjawab utama Lembaga Pengarah adalah seperti yang berikut:-

(a) Kewangan/Operasi

(i)      Menyemak dan meluluskan semua perkara yang berkaitan dengan strategi dan polisi termasuk objektif, pelan perniagaan strategik dan polisi operasi utama Bank, serta memantau prestasi pihak Pengurusan dalam pelaksanaannya berdasarkan Penunjuk Prestasi Utama (“KPI”) yang diluluskan oleh Lembaga Pengarah;

(ii)    Menyemak kecukupan dan integriti sistem laporan kewangan dan perakaunan Bank dan memastikan terdapat kawalan yang sewajarnya;

(iii)   Menyemak dan meluluskan perkara berikut, termasuk tetapi tidak terhad kepada:-

  • Pelan Perniagaan dan Belanjawan Tahunan Bank;
  • Laporan pengurusan yang mengandungi prestasi kewangan dan perniagaan, maklumat terkini tentang aset kredit terjejas, litigasi yang material dan peristiwa penting;
  • Apa-apa cadangan hapus kira;
  • Litigasi yang material;
  • Cadangan atau usaha niaga pelaburan yang melibatkan perhubungan strategik;
  • Dokumen Had Autoriti termasuk kuasa budi bicara yang diberi kepada mana-mana pegawai Bank Islam;
  • Pengagihan dividen Bank;
  • Apa-apa pembelian atau pelupusan barang atau aset tetap atau apa-apa pembelian atau penamatan perkhidmatan mengikut had autoriti yang ditetapkan dalam dokumen Had Autoriti; dan
  • Perolehan dan pembayaran awal apa-apa pinjaman atau keterhutangan Bank;

(iv)  Meluluskan pelan modal sebagai sebahagian daripada amalan belanjawan dan apa-apa peningkatan modal yang ketara dan aktiviti pembayaran balik, dan menyemak laporan tentang kecukupan modal;

(v)    Menyemak dan meluluskan polisi perniagaan dan operasi yang utama, termasuk tetapi tidak terhad kepada perkara berikut:-

  • Produk atau perkhidmatan baharu dan menyemak prestasi dan keuntungan produk atau perkhidmatan tersebut;
  • Polisi dividen;
  • Polisi susut nilai;
  • Polisi pemerolehan;
  • Polisi penggunaan khidmat luar; dan
  • Polisi sekuriti teknologi maklumat (“IT”) dan polisi lain yang berkaitan IT;

(vi)  Menyemak dan meluluskan apa-apa pelantikan individu, perunding atau penasihat atau penubuhan jawatankuasa atau pasukan petugas untuk mengendalikan apa-apa tugasan khusus yang berkaitan dengan perniagaan dan operasi Bank mengikut had autoriti yang ditetapkan dalam dokumen Had Autoriti;

(b) Pengurusan Risiko

(i)      Menyemak dan meluluskan polisi pengurusan risiko dan memastikan bahawa Bank mewujudkan kawalan dalaman dan infrastruktur yang mencukupi;

(ii)    Menyemak dan meluluskan Polisi Pengurusan Kesinambungan Perniagaan Bank untuk menangani pelbagai peristiwa dan bencana dalaman/luaran yang ekstrem;

(iii)   Menyemak dan meluluskan termeterinya, atau pengubahan apa-apa kontrak, pengaturan atau komitmen dengan mana-mana pihak yang berkaitan atau apa-apa urus niaga yang melibatkan konflik kepentingan;

(iv)  Menyemak dan meluluskan apa-apa cadangan penggunaan khidmat luar yang baharu; dan

(v)    Menilai keberkesanan pihak Pengurusan dalam menguruskan risiko Bank;

(c) Sumber Manusia & Tadbir Urus

(i)      Menyemak dan meluluskan pelantikan dan penamatan perkhidmatan ahli Lembaga Pengarah, ahli Majlis Pengawasan Syariah (“SSC”) dan kakitangan pengurusan kanan utama yang berperanan sebagai Pengarah Urusan atau Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Operasi, Ketua Pegawai Kewangan, Ketua Pegawai Risiko, Ketua Audit Dalaman dan jawatan lain seumpamanya seperti yang ditentukan oleh Lembaga Pengarah dari semasa ke semasa;

(ii)    Menyemak dan menyarankan imbuhan ahli SSC dan kakitangan pengurusan kanan utama yang berperanan sebagai Pengarah Urusan atau Ketua Pegawai Eksekutif, Ketua Pegawai Operasi, Ketua Pegawai Kewangan, Ketua Pegawai Risiko, Ketua Audit Dalaman dan jawatan lain seumpamanya seperti yang ditentukan oleh Lembaga Pengarah dari semasa ke semasa. Imbuhan Lembaga Pengarah dibentangkan di Mesyuarat Agung Tahunan bagi kelulusan pemegang saham;

(iii)   Menyemak dan meluluskan polisi Sumber Manusia, termasuk tetapi tidak terhad kepada, pelan penggantian, skim gaji dan imbuhan, kod tatakelakuan, prosedur pemberian maklumat, prosedur tindakan disiplin dan prosedur kilanan;

(iv)  Menyemak dan meluluskan pelan penggantian untuk Lembaga Pengarah;

(v)    Menyemak prestasi setiap pengarah, ahli SSC dan kakitangan pengurusan kanan utama termasuk Pengarah Urusan dan menilai keberkesanan Lembaga Pengarah dan SSC secara keseluruhannya setiap tahun; dan

(vi)  Menyemak dan meluluskan apa-apa polisi berkaitan pengarah termasuk Polisi Imbuhan Pengarah, Tempoh Pemegangan Jawatan Pengarah dan Latihan untuk Pengarah.

(d) Tadbir Urus Syariah

(i)      Melaksanakan fungsi penyemakan terhadap keberkesanan rangka kerja tadbir urus Syariah Bank Islam dan memastikan bahawa rangka kerja tersebut adalah menyeluruh dan merangkumi semua aspek operasi dan perniagaan Bank serta mengambil kira saiz, kerumitan dan jenis perniagaan; dan

(ii)    Menyemak dan meluluskan kesemua polisi yang berkaitan dengan Syariah dalam perniagaan dan operasi Bank setelah berunding dengan SSC;

(e) Pematuhan

(i)      Menyemak laporan atau cadangan yang berkaitan untuk memastikan operasi Bank mematuhi:

  • Rangka kerja undang-undang yang berkaitan, termasuk tetapi tidak terhad kepada, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (“IFSA 2013”), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram & Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, Akta Syarikat 1965 dan apa-apa peraturan serta garis panduan di bawah undang-undang yang berkaitan;
  • Prinsip Syariah yang berkaitan;
  • Apa-apa polisi dan prosedur Bank yang diwujudkan;

(ii)    Melaksanakan fungsi penyemakan terhadap apa-apa keperluan kawal selia seperti yang dikenakan oleh BNM dan pihak berkuasa kawal selia lain yang berkaitan; dan

(iii)   Mempertimbangkan dan memberikan apa-apa maklum balas, pengakuan, aku janji atau pengesahan seperti yang dikehendaki oleh pihak berkuasa kawal selia berkaitan dengan pematuhan keperluan kawal selia; dan

(f) Lain-lain

(i)      Meluluskan apa-apa aktiviti penjenamaan korporat yang melibatkan imej korporat Bank Islam termasuk logo, slogan iklan dan laporan tahunan; dan

(ii)    Menyemak dan meluluskan apa-apa pelantikan wakil korporat dan surat kuasa wakil untuk bertindak bagi pihak Bank. Lembaga Pengarah juga mempunyai kuasa untuk menyemak dan meluluskan perkara lain seperti yang ditentukan oleh Lembaga Pengarah dari semasa ke semasa.

1.5 Prinsip Asas yang terpakai kepada Ahli Lembaga Pengarah

Pengarah hendaklah mempamerkan integriti yang sepenuhnya dan berkelakuan menurut standard tingkah laku yang tinggi berdasarkan prinsip asas berikut:-

(a) Tanggungjawab Kerahsiaan

Semua pengarah dikehendaki menghormati kerahsiaan maklumat sensitif yang dipegang oleh Bank. Pengarah dilarang menyalahgunakan maklumat yang diperoleh ketika melaksanakan tugasnya untuk kepentingan dirinya. Selain itu, pengarah tidak boleh mendedahkan maklumat berkaitan dengan perniagaan dan hal ehwal Bank atau maklumat yang diperolehnya ketika melaksanakan tugas dan fungsinya, serta maklumat tentang pelanggan Bank. Semua maklumat sulit akan kekal sulit walaupun mereka tidak lagi menjadi ahli Lembaga Pengarah dan maklumat tersebut tidak boleh dieksploitasi atau digunakan dengan cara yang tidak wajar.

(b) Kesetiaan kepada Bank dan Lembaga Pengarah

Semua pengarah hendaklah setia kepada Bank, Lembaga Pengarah dan ahli Lembaga Pengarah yang lain, serta memberikan komitmen sepenuhnya kepada semua aktiviti Lembaga Pengarah. Pengarah dilarang melakukan, menyatakan atau menerbitkan apa-apa perkara yang boleh menjejaskan kepentingan Bank. Seseorang pengarah tidak boleh sama sekali mengkritik Bank atau ahli Lembaga Pengarah yang lain secara terbuka, mempersoalkan keputusan Lembaga Pengarah atau menjauhkan diri daripada pengarah yang lain di luar bilik Lembaga Pengarah. Jika seseorang pengarah khuatir tentang cara pengurusan Bank, kekhuatirannya itu hendaklah dikemukakan kepada Pengerusi dan pihak Pengurusan atau ketika mesyuarat Lembaga Pengarah.

(c) Isu Operasi

Peranan Lembaga Pengarah adalah untuk mempertimbangkan dan meluluskan strategi, pelan dan polisi Bank serta memantau dan menyemak prestasi pihak Pengurusan. Pihak Pengurusan berperanan untuk mencadangkan dan melaksanakan pelan dan strategi tersebut. Semua pengarah hendaklah mengelakkan campur tangan dalam pengurusan harian Bank. Lembaga Pengarah berperanan membantu pihak Pengurusan dalam melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan dan membuat keputusan tentang keutamaan Bank.

(d) Tanggungjawab terhadap Keputusan Lembaga Pengarah

Semua Pengarah mestilah berupaya memberikan cabaran yang konstruktif. Mereka juga dikehendaki berkongsi tanggungjawab ke atas keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah secara keseluruhannya. Jika mana-mana pengarah secara asasnya tidak bersetuju dengan keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengarah, mereka mempunyai pilihan untuk mencatatkan perkara tersebut dalam minit mesyuarat. Walau bagaimanapun, mereka mestilah menerima dan menyokong keputusan kolektif Lembaga Pengarah tersebut.

Sebagai sebuah bank Islam, satu rangka kerja tadbir urus Syariah telah diwujudkan sebagai ciri khas dalam struktur organisasi Bank, yang merangkumi penubuhan SSC selari dengan keperluan Seksyen 30 (1) IFSA 2013 dan Rangka Kerja Tadbir Urus Syariah bagi Institusi Kewangan Islam (“SGF”) yang dikeluarkan oleh BNM.

Dari segi fungsinya, SSC melapor kepada Lembaga Pengarah Bank dan dalam memastikan pematuhan Syariah, Bank mewujudkan empat (4) fungsi pematuhan Syariah dalaman iaitu Penyelidikan dan Khidmat Nasihat, Pengurusan Risiko Syariah, Semakan Syariah serta Audit Syariah.

Gambar rajah berikut menunjukkan rangka kerja tadbir urus Syariah Bank:-

CG-shariah

3.1 Komposisi SSC

Pada 31 Disember 2013, SSC terdiri daripada lima (5) ahli daripada pelbagai latar belakang dari segi kelayakan, pengalaman dan pengetahuan, termasuk undang-undang dan ekonomi, bagi memastikan perbincangan Syariah yang mendalam dan luas. Ahli SSC terdiri daripada golongan cendekiawan yang mempunyai kelayakan, kepakaran dan pengalaman dalam bidang Syariah terutamanya perundangan Islam (usul al-fiqh) dan undang-undang perdagangan Islam (fiqh al-mua’malat).

3.2 Tugas dan Tanggungjawab Utama SSC

Terma rujukan SSC menyatakan bahawa tugas dan tanggungjawab utama SSC secara amnya adalah berdasarkan SGF, seperti yang berikut:-

(a)    Menasihati Lembaga Pengarah dan pihak Pengurusan tentang perkara berkaitan Syariah agar Bank mematuhi peraturan dan prinsip Syariah pada setiap masa;

(b)   Meluluskan polisi dan garis panduan berkaitan Syariah;

(c)    Meluluskan produk dan perkhidmatan yang mematuhi peraturan dan prinsip Syariah, termasuklah:-

(i)      mengesahkan terma dan syarat yang terkandung dalam borang, kontrak, perjanjian atau dokumen undang-undang lain yang digunakan untuk melaksanakan urus niaga; dan

(ii)    mengesahkan manual produk, iklan pemasaran, ilustrasi jualan dan brosur yang digunakan untuk menerangkan produk dan perkhidmatan;

(d)   Menilai kerja yang dijalankan mengikut semakan dan audit Syariah bagi memastikan prinsip Syariah dipatuhi. Hal ini merupakan sebahagian daripada tugas SSC supaya jaminan pematuhan Syariah dimasukkan ke dalam laporan tahunan Bank;

(e)   Membantu dan menasihati pihak berkaitan seperti peguam, juruaudit dan perunding Bank tentang perkara berkaitan dengan Syariah apabila diminta;

(f)     Menasihati Bank tentang apa-apa perkara yang memerlukan perundingan dengan Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia (“SAC”) tentang apa-apa perkara yang berkaitan dengan Syariah yang tidak dapat diputuskan oleh SSC;

(g)    Menyediakan pendapat Syariah secara bertulis apabila Bank merujuk kepada SAC untuk nasihat lanjut, atau apabila Bank menyerahkan apa-apa permohonan kepada BNM untuk mendapatkan kelulusan produk baharu; dan

(h)   Memberikan nasihat dan kelulusan kepada Bank berhubung dengan pengiraan, pembayaran dan pengagihan zakat.

3.3 Tatakelakuan Ahli SSC

Dalam menjalankan tugas mereka, ahli SSC diharapkan dapat menunjukkan ciri sahsiah yang baik serta kecekapan, ketekunan dan mampu membuat keputusan yang bijak. Keperluan penting dalam Kod Tatakelakuan termasuklah yang berikut:-

(a)    Ahli SSC hendaklah pada setiap masa mengekalkan ciri sahsiah yang baik, iaitu mereka hendaklah menunjukkan kejujuran, integriti, keadilan dan reputasi yang baik sepanjang berurusan dengan Bank, termasuklah mempunyai hubungan yang baik dengan orang awam;

(b)   Mereka hendaklah mengekalkan kebebasan dan profesionalisme semasa menjalankan tugas; ahli SSC hendaklah sentiasa mempunyai kebebasan moral, intelektual dan profesional yang sepenuhnya. Dalam menjalankan obligasi mereka, ahli SSC hendaklah:-

(i)      menegakkan keadilan dan kesaksamaan untuk semua pihak berkepentingan;

(ii)    bertindak dalam cara yang mengekalkan kejujuran dan integriti mereka;

(iii)   menggunakan budi bicara yang sewajarnya semasa membuat keputusan dengan mengambil kira bukan sahaja aspek teknikal pematuhan Syariah; dan

(iv)  menghormati kepelbagaian pendapat antara mazhab dan perbezaan kepakaran di kalangan ahli SSC;

(c)    Ahli SSC berkewajipan untuk mematuhi kerahsiaan semua maklumat yang diamanahkan oleh Bank kepada mereka atau yang dibawa kepada perhatian mereka semasa atau pada bila-bila masa selepas menjalankan tugasan. Maklumat sulit di sini merujuk maklumat yang diterima oleh ahli SSC semasa menjalankan tugas mereka yang bukan maklumat untuk orang awam dan tidak dibenarkan untuk didedahkan kepada orang awam; dan

(d)   Tafsiran peraturan dan prinsip Syariah berdasarkan bidang fiqh al-mua’malat adalah berkenaan dengan keputusan profesional ahli SSC. Mereka hendaklah memastikan keselarasan, yang dalam hal ini adalah berkaitan dengan tahap kecekapan dan kebebasan, seperti yang dinyatakan di atas, dan juga berkaitan dengan etika profesional.

Bagi memastikan kualiti dan keselarasan keputusan yang dibuat, SSC telah mewujudkan dan menggunakan Dokumen Keputusan Majlis Pengawasan Syariah. Dokumen ini menerangkan kaedah dan cara ahli SSC membuat keputusan berkenaan isu tertentu termasuk penggunaan prinsip usul fiqh dan rujukan kepada standard Syariah yang telah diterimapakai, fatwa dan ketetapan majlis pihak berkuasa serta akademi fiqh. Dokumen tersebut juga mengandungi proses SSC dan Bank dalam menangani keputusan yang terbukti khilaf dan penyemakan semula keputusan terdahulu.

3.5 Tanggungjawab Bank terhadap Pematuhan Syariah

Kerjasama antara Bank dengan SSC adalah penting bagi memastikan semua aktiviti perniagaan, produk, perkhidmatan dan operasi Bank mematuhi peraturan dan prinsip Syariah. Oleh yang demikian, Bank bertanggungjawab terhadap SSC untuk melaksanakan perkara berikut:-

(a)    Merujuk kepada SSC untuk mendapatkan keputusan berkaitan semua isu Syariah dalam operasi perniagaannya;

(b)   Mengguna pakai dan mengambil langkah yang perlu untuk melaksanakan keputusan SSC;

(c)    Menyediakan sumber yang mencukupi untuk SSC termasuklah peruntukan belanjawan, khidmat runding pakar bebas, bahan rujukan dan latihan;

(d)   Memastikan SSC memahami operasi dan perniagaan Bank;

(e)   Membenarkan SSC mengakses semua rekod, urus niaga, manual dan maklumat yang berkaitan seperti yang diperlukan oleh ahli SSC untuk menjalankan tugas mereka; dan

(f)     Menyarankan imbuhan yang sewajarnya kepada ahli SSC setara dengan dan mencerminkan tugas dan tanggungjawab SSC.

Selain itu, Bank bertanggungjawab untuk melaksanakan perkara berikut berhubung dengan Pematuhan Syariah:-

(a)    Mematuhi semua keputusan SSC dan menetapkan keperluan Syariah bagi semua produk, perkhidmatan, dokumentasi perundangan dan aktivitinya;

(b)   Bank hendaklah akur dan patuh kepada keputusan SSC dan tidak mengambil mudah pelaksanaan keputusan. Amalan mengambil mudah pelaksanaan keputusan boleh menjejaskan kebebasan ahli SSC dan merosakkan integriti dan kredibiliti Bank khususnya, serta industri perbankan Islam secara amnya; dan

(c)    Meskipun SSC bertanggungjawab membuat dan menyuarakan keputusan tentang tahap pematuhan Syariah Bank, namun tanggungjawab pematuhan terletak pada pihak Pengurusan Bank.

Misi Bank berhubung pengurusan risiko adalah untuk memastikan Bank dapat menjalankan operasi perniagaan yang berterusan walaupun dalam keadaan yang sukar, dengan membolehkan Bank merebut peluang perniagaan yang berkaitan menggunakan Rangka Kerja Tanggungan Risiko yang ditetapkan.

Sehubungan itu, objektif pengurusan risiko adalah untuk memajukan keupayaan, budaya dan amalan pengurusan risikonya agar sejajar dengan standard dan amalan yang diterima pada peringkat antarabangsa. Objektif khusus adalah seperti yang berikut:

(i)            Memupuk budaya kesedaran risiko di seluruh Bank;

(ii)          Mewujudkan pendekatan dan kaedah standard dalam risiko pengurusan kredit, pasaran, kecairan, operasi dan perniagaan di seluruh Bank;

(iii)         Mengimbangi tanggungan risiko dan pulangan;

(iv)        Menetapkan struktur yang berfungsi secara jelas termasuk objektif, peranan dan tanggungjawab;

(v)          Membangunkan dan menggunakan kaedah seperti modal ekonomi, nilai berisiko, model markah permohonan bagi menyokong pengukuran risiko dan menambah baik keputusan berdasarkan risiko;

(vi)        Memastikan strategi dan sasaran perniagaan sejajar dengan polisi risiko dan keseluruhan tanggungan risiko; dan

(vii)       Memastikan modal Bank mampu menyokong keperluan perniagaan semasa dan yang dirancang dari segi pendedahan risiko, walaupun semasa dihimpit tekanan dengan menggunakan pelbagai senario ujian tekanan.

Bank mengiktiraf bahawa inti pati perkhidmatan perbankan dan kewangan bertumpu kepada pengambilan risiko. Oleh itu, Bank:

(i)            Mengiktiraf bahawa Bank perlu menguruskan risiko bagi menjalankan perniagaannya dengan berkesan;

(ii)          Berusaha mencapai tahap pulangan risiko yang optimum bagi memaksimumkan nilai pihak berkepentingan; dan

(iii)         Memastikan proses pengurusan risiko yang berkesan dan disepadukan seiring dengan saiz dan kerumitan operasi semasa dan masa depan Bank di bawah tanggungan dan toleransi risikonya.

Bank telah mewujudkan Rangka Kerja Tanggungan Risiko yang membentuk sebahagian penting pelan strategi dan perniagaan Bank. Tanggungan risiko ialah ungkapan bagi tahap risiko maksimum yang boleh diterima oleh Bank sebagai sokongan kepada strategi yang dinyatakan, dan memberi kesan kepada semua perniagaan dari aspek risiko kredit, pasaran dan operasi.

Bagi Bank Islam, menerapkan budaya pematuhan sentiasa menjadi keutamaannya. Tahap kesedaran dan keperluan untuk memberikan tumpuan kepada risiko dan pematuhan adalah sangat tinggi. Hal ini adalah sejajar dengan salah satu nilai teras Bank – untuk menjadi organisasi yang amanah; sentiasa berusaha mencapai tahap tertinggi dalam integriti, kejujuran dan tanggungjawab, yang merupakan perkara asas dalam prinsip Islam. Ini diamalkan dalam setiap aspek perniagaan dan operasi Bank.

Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan Bank memberikan komitmen penuh dan padu secara berterusan untuk memupuk budaya tingkah laku beretika, integriti dan kepercayaan dalam organisasi, yang membantu menghidupkan suasana kondusif untuk pematuhan. Peranan tiga (3) peringkat pertahanan mengikut standard antarabangsa (Rajah 1) telah lama diguna pakai di Bank Islam. Sistem ini memastikan risiko dan pematuhan diterapkan ke dalam proses pengurusan dan operasi harian.

CG-compliance1

Bahagian Pematuhan yang memainkan peranan pada peringkat kedua pertahanan, bertanggungjawab melaksanakan Program Pematuhan bagi mengesahkan kawalan dan memastikan keperluan kawal selia diterapkan. Bahagian ini juga memberikan jaminan kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan Kanan bahawa etika, integriti dan kepercayaan diamalkan dan dizahirkan melalui tindakan, tanggungjawab dan jangkaan pada setiap peringkat. Oleh itu, Program Pematuhan berfungsi sebagai kaedah untuk menyemai budaya pematuhan di seluruh Bank.

Bank membenarkan isu berkaitan risiko dan pematuhan dibincangkan dan diperdebatkan secara bebas di semua mesyuarat jawatankuasa pengurusan (Rajah 2) sebagai sebahagian daripada amalan tadbir urus Bank yang baik. Isu yang diketengahkan kepada Lembaga Pengarah mengelakkan pengasingan maklumat dan pemikiran sempit yang boleh menyebabkan sesuatu perkara tidak dinilai secara menyeluruh. Selain itu, Ketua Bahagian Pematuhan dibenarkan menghadiri semua mesyuarat jawatankuasa, termasuk mesyuarat Lembaga Pengarah jika terdapat isu yang memerlukan tindakan segera.

CG-compliance2

IAD Bank Islam melaksanakan pengauditan ke atas entiti dalam Bank Islam dan subsidiarinya berdasarkan Pelan Audit tahunan yang diluluskan oleh AEC. Pelan Audit tersebut yang mengguna pakai pendekatan audit berasaskan risiko, meliputi semakan ke atas kecukupan sistem pengurusan risiko dan kawalan operasi, tadbir urus, pematuhan kepada undang-undang dan peraturan, kualiti aset dan keberkesanan pengurusan. Audit dalaman menilai keberkesanan sistem pengurusan risiko, menekankan kelemahan kawalan dan proses serta membuat cadangan penambahbaikan yang sewajarnya kepada pihak Pengurusan.

Autoritinya dinyatakan dalam Piagam Audit, yang mendokumentasikan peranan, autoriti, tugas dan tanggungjawab IAD serta hubungannya dengan Lembaga Pengarah, AEC, pihak Pengurusan, juruaudit luar dan pengawal selia.

IAD komited untuk mempertingkatkan proses audit dengan memberikan khidmat nasihat, menaik taraf kecekapan kakitangan dan melaksanakan proses audit sejajar dengan amalan terbaik profesional. Secara keseluruhan, IAD memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran kawalan dalaman yang mantap serta menggalakkan budaya pematuhan dalam Bank dan subsidiarinya.

Print Friendly, PDF & Email