Ahad, 22 Oktober 2017, 1 Safar 1439H Waktu Solat:
KL Imsak 5:31 | Subuh 5:41 | Syuruk 6:56 | Zohor 1:01 | Asar 4:18 | Maghrib 7:00 | Isyak 8:10

Bank Islam Tunai Tanggungjawab Serah Zakat Kepada Kerajaan Terengganu


Kuala Terengganu 4 April 2007: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) telah mengagihkan sebahagian kutipan zakat bagi tahun kewangannya yang berakhir 30 Jun 2006 sebanyak RM121,766 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dalam satu majlis di sini, hari ini.

Pengagihan zakat berkenaan adalah sebahagian daripada jumlah perolehan pendapatan keuntungan selepas zakat yang dicatat bagi negeri Terengganu. Jumlah kutipan zakat Bank Islam untuk Terengganu bagi tahun 2006 telah meningkat sebanyak RM37,380 berbanding RM84,386 pada tahun 2005.

Penyerahan cek zakat berkenaan telah disampaikan oleh Pengarah Urusan Bank Islam, Dato’ Zukri Samat kepada Menteri Besar Terengganu, Y.A.B. Dato’ Seri Haji Idris Jusoh. Turut hadir di majlis tersebut ialah Pengurus Besar Bank Islam, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Y.Bhg. Dato’ Haji Alwi bin Muhamad.

Menurut Dato’ Zukri, Bank Islam mengambil kesempatan keberkatan sambutan Maulidur Rasul yang disambut baru-baru ini untuk menunaikan kewajipannya membayar zakat.

Beliau juga menjelaskan yang umat Islam di negeri Terengganu boleh membayar zakat dengan lebih mudah dan cepat melalui mana-mana empat (4) buah cawangannya di negeri itu, atau melalui sistem perbankan internetnya iaitu bankislam.biz.

Selain itu, katanya kemudahan bayaran zakat juga boleh dilakukan melalui perbankan sistem pesanan ringkas (SMS), bankislam.SMS dan kad kredit, Kad Bank Islam (KBI).”

“Saluran bayaran zakat ini merupakan tambahan kepada khidmat kutipan zakat yang disediakan di kaunter cawangan Bank Islam sebelum ini. Sehingga kini, Bank Islam mempunyai empat buah cawangan di Terengganu iaitu di Jalan Sultan Ismail, Kuala Terengganu, Chukai, Jerteh dan Dungun’, tambah beliau.

Dato Zukri juga berkata, selain saluran-saluran berkenaan, Bank Islam turut menyediakan pembayaran alternatif lain seperti melalui mesin juruwang automatik (ATM) dan gerbang perkhidmatan pembayaran secara ‘online’ melalui Financial Process Exchange (FPX) yang telah digunakan oleh sebahagian pusat zakat negeri seperti Pusat Urus Zakat Selangor dan Pusat Urus Zakat Pulau Pinang.

“Tambahan saluran terbaru zakat ini memudahkan dan memberikan pilihan kepada orang ramai untuk menunaikan tanggungjawab mereka membayar zakat. Malah, mereka tidak perlu lagi ke kaunter-kaunter zakat atau bank untuk membayar kerana transaksi bayaran boleh dibuat melalui bankislam.biz dengan menggunakan komputer peribadi di rumah, di pejabat mahupun melalui telefon bimbit pada bila-bila masa, di mana-mana sahaja,” kata beliau lagi.

Perlu disebut, sehingga 30 Mac 2007, Bank Islam mempunyai kira-kira 40 ribu pengguna bankislam.biz dan hampir 138 ribu pengguna bankislam.SMS.

Bank Islam juga adalah antara bank yang dilantik sebagai ejen kutipan zakat oleh hampir semua pusat pungutan zakat negeri.

Dalam memenuhi tanggungjawab korporat dan sosialnya kepada masyarakat, Bank Islam sentiasa berusaha menawarkan kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang efisien serta moden untuk kemudahan mereka bermuamalah. Ini terbukti dengan kesungguhan pihak Bank yang sentiasa menawarkan produk yang inovatif selari dengan peningkatan prestasi mutu perkhidmatannya seperti yang disarankan oleh YAB Menteri Besar Terengganu yang mahukan komitmen dan kerjasama organisasi korporat bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kepada rakyat.

Bank Islam turut giat mempertingkatkan perkhidmatan bayaran zakatnya melalui KBI MasterCard/Visa dengan beberapa lagi Pusat Zakat Negeri. Kini, hampir semua pusat kutipan zakat negeri telah menggunakan sistem pembayaran melalui kad kredit berlandaskan syariah, antaranya negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Pahang, Pulau Pinang, Sarawak, Melaka, Negeri Sembilan dan Kedah.

Terbaru, Bank Islam menawarkan sistem pembayaran zakat melalui terminal e-debit atau MEPS Cash yang membolehkan pembayaran di kebanyakan Pusat Zakat Negeri melalui penggunaan Kad SMART ATM (BankCard), kad e-debit atau mana-mana kad ATM MEPS Cash.

TAMAT

Print Friendly
Bank Islam