Khamis, 19 Oktober 2017, 28 Muharam 1439H Waktu Solat:
KL Imsak 5:31 | Subuh 5:41 | Syuruk 6:56 | Zohor 1:01 | Asar 4:18 | Maghrib 7:01 | Isyak 8:10

Bank Islam Tandatangan Ikrar Integriti Korporat


Isytihar komitmen terhadap prinsip anti-rasuah

KUALA LUMPUR, Selasa, [20 Mac 2012]: Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) hari ini menandatangani Ikrar Integriti Korporat Malaysia (CIP) bagi mempertingkatkan tadbir urus korporat, akauntabiliti serta ketelusan budayanya ke tahap yang lebih tinggi.

Majlis menandatangani ikrar yang diketuai oleh Pengarah Urusan Bank Islam, Dato’ Sri Zukri Samat serta barisan pengurusan Bank itu menjadikan Bank Islam institusi kewangan Islam yang pertama menyatakan komitmen terhadap Prinsip Pencegahan Rasuah bagi sebuah badan korporat.

Di majlis itu, Dato’ Sri Zukri berkata: “Bank Islam sangat bangga menyertai usaha ini dengan menandatangani ikrar untuk menghapuskan rasuah dalam aktiviti dan operasi perniagaan kami. Kami percaya bahawa Bank Islam seharusnya  merintis jalan yang bebas rasuah di kalangan bank-bank kerana ajaran Islam sememangnya menitikberatkan urusan perniagaan yang adil dan saksama. Usaha kami dalam inisiatif ini mengukuhkan lagi kedudukan kami sebagai jenama perbankan Islam Malaysia yang paling dipercayai. ”

Beliau juga mengumumkan pelancaran Hotline Integriti Bank Islam di mana kakitangan dan pelanggan boleh melaporkan kes-kes rasuah tanpa prejudis.

Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Y.Bhg. Dato’ Sri Hj. Abu Kassim bin Mohamed serta Presiden Institut Integriti Malaysia, Y.Bhg. Datuk Dr. Mohd Tap Salleh menyaksikan majlis menandatangani ikrar tersebut yang diadakan di Menara Bank Islam.

Dato’ Sri Zukri Samat berkata, Bank Islam yang sentiasa berusaha mendapatkan prestasi yang lebih baik dan tinggi telah mengumumkan baru-baru ini satu lagi rekod keuntungan sebelum cukai sebanyak RM470.1 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 dan nisbah kasar pembiayaan tidak berbayar sebanyak 2.6%. Pertumbuhan Bank adalah berdasarkan tadbir urus yang baik dan pengurusan risiko yang mantap.

“Hari ini, kami berdiri sebagai contoh bahawa tadbir urus yang baik, budaya pengurusan risiko yang kukuh serta dasar toleransi sifar terhadap rasuah memang memberi perbezaan yang signifikan,” katanya.

Mengenai pelancaran Hotline Integriti, Dato’ Sri Zukri berkata: “Talian hotline akan dikendalikan oleh Jabatan Rangkaian &  Pengagihan Maklum balas Bank Islam sendiri. Pemberi maklumat, sama ada dalaman atau luaran, akan dilayan dengan sulit dan semua kes akan dianggap serius dan disiasat dengan teliti. ”

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Bank Islam telah melaksanakan banyak langkah-langkah proaktif untuk menginstitusikan budaya integriti dan juga telah melaksanakan pelbagai dasar seperti Dasar Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan dasar Pemberian Maklumat yang bertujuan untuk menghapuskan rasuah di kalangan kakitangan serta pelanggannya.

Jabatan Pematuhan Bank menghasilkan buletin bulanan yang menyiarkan kes pengubahan wang haram, statistik kes-kes rasuah dan penipuan, cara-cara untuk berurusan dengan urus niaga yang mencurigakan dan mereka yang di dalam senarai dikehendaki Bank Negara serta lain-lain perkara yang berkaitan.

Untuk memanifestasikan ikrar tersebut, Bank Islam akan mengadakan program-program dengan kerjasama pihak dalaman dan luaran untuk mewujudkan kesedaran di kalangan para pemegang kepentingan mengenai peranan masing-masing untuk mencegah perbuatan rasuah. Program-program ini adalah seperti:

 

  • Program selama dua hari untuk kakitangan Bank Islam yang dipanggil “Program Latihan Integriti SPRM” – program latihan wajib kepada peningkatan integriti dan pencegahan rasuah.
  • Program “1 KORPORAT 1 INTEGRITI ” program yang melibatkan kakitangan Bank Islam dan orang awam dalam menekankan budaya integriti.
  • Sesi bengkel dengan para pembekal (Vendor) Bank untuk menerangkan kesan dan impak rasuah serta manfaat mengekalkan integriti dalam urusan perniagaan.

 

Sebagai penandatangan terkini ikrar itu, Bank Islam akan menjadi sebahagian daripada rangkaian syarikat-syarikat yang berdaftar di laman web Institut Integriti Malaysia, dan juga di laman web Bursa Malaysia Berhad sebagai rujukan di kalangan semua penandatangan pada masa akan datang.

Print Friendly
Bank Islam