Ahad, 17 Disember 2017, 28 Rabiulawal 1439H Waktu Solat:
KL Imsak 5:40 | Subuh 5:50 | Syuruk 7:10 | Zohor 1:12 | Asar 4:35 | Maghrib 7:08 | Isyak 8:23

Bank Islam Lantik Universiti Utara Malaysia Ukur Indeks Kepuashatian Pelanggan


KUALA LUMPUR: Isnin [12 November, 2007] – Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) berhasrat untuk mempertingkatkan lagi mutu perkhidmatannya terhadap para pelanggan berdasarkan Indeks Kepuashatian Pelanggan atau Customer Satisfaction Index (CSI) yang dijalankan oleh Universiti Utara Malaysia (UUM).

Bank Islam telah melantik UUM untuk menjalankan kajiselidik di semua 90 buah cawangannya bermula April 2007 iaitu sebelum Bank berkenaan melancarkan identiti barunya pada 21 Ogos yang lalu. Hasil kajiselidik berkenaan telah banyak membantu Bank Islam dalam merangka program dan halatuju program penjenamaan semula bank tersebut.

Objektif utama kaji selidik ini adalah untuk mendapat maklum balas pelanggan secara terus dengan mengenal pasti kekurangan dan kelebihan yang dihadapi oleh pihak pelanggan di setiap 90 buah cawangannya selama ini. Keputusan yang diperolehi daripada kaji selidik UUM ini dapat digunakan sebagai tanda aras indeks kepuashatian pelanggan bagi penambahbaikan berterusan organisasi dan demi meningkatkan tahap khidmat pelanggan di seluruh cawangan Bank Islam.

Pengurus Besar Hal Ehwal Korporat dan Pembangunan Perniagaan, Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh mewakili Bank Islam manakala UUM diwakili oleh Prof. Madya Dr. Abdul Razak Chik, Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Perhubungan Antarabangsa.

Bercakap pada sidang akhbar berkenaan, Dato’ Wan Ismail berkata: “Hubungan yang terjalin antara Bank Islam dan UUM telah lama wujud bukan sahaja dalam bidang perniagaan bahkan juga jalinan kerjasama dalam menjalankan kajiselidik untuk manfaat Bank dan pelanggan kami.”

Tambah beliau lagi, kerjasama seumpama ini sebenarnya dapat membuka ruang dan merintis jalan baru ke arah usahama atau ”joint initiatives” yang memanfaatkan kedua-dua belah pihak. Selain dapat membantu industri pengajian tinggi dalam mengaplikasikan teori penyelidikan kepada realiti komersil, adalah menjadi hasrat Bank Islam agar kerjasama seumpama ini dilaksanakan terutamanya dalam sektor perbankan.

Dalam majlis yang sama juga, Bank Islam telah menyerahkan sumbangan sebanyak RM59,500.00 daripada peruntukan Tabung Ehsan Zakat (Pendidikan) Bank untuk pelajar UUM yang memerlukan bantuan kewangan dalam tempoh pengajian mereka di UUM.

Sebagai sebuah institusi kewangan korporat dan pelopor perbankan Islam di negara ini, aktiviti Bank Islam bukan sahaja tertumpu sepenuhnya kepada menjana keuntungan semata-mata bahkan juga program-program lain terutamanya yang dapat menyumbang kepada bidang pendidikan negara selain sentiasa berusaha meningkatkan mutu perkhidmatannya kepada para pelanggannya, sesuai dengan imej baru bank yang ditonjolkan baru-baru ini.

Print Friendly
Bank Islam