Khamis, 19 Oktober 2017, 28 Muharam 1439H Waktu Solat:
KL Imsak 5:31 | Subuh 5:41 | Syuruk 6:56 | Zohor 1:01 | Asar 4:18 | Maghrib 7:01 | Isyak 8:10

Bank Islam Lancar Peraduan Mewarna ‘MERDEKA’


Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB) kini proaktif untuk meningkatkan jumlah pendeposit baru di kalangan pelajar sekolah seluruh negara, khususnya di kalangan pelajar sekolah rendah.

Justeru, sempena sambutan bulan kemerdekaan tahun ini, Bank Islam melancarkan ‘Peraduan Mewarna Merdeka’ yang dibuka kepada semua pendeposit akaun simpanan Wadi.  Peraduan ini juga sejajar dengan  Program Sekolah Angkat dan Kempen Menabung yang dikelolakan oleh Bank Negara Malaysia dan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Peraduan yang bermula 1 Ogos 2006 sehingga 30 September 2006 ini menawarkan sejumlah RM6,500 hadiah wang tunai dan pakej pelancongan untuk penyimpan dan keluarga mereka.  Penyertaan terbuka kepada kanak-kanak pelbagai bangsa melalui pembukaan akaun Wadi dengan deposit minima RM50.00 sahaja atau penambahan deposit RM50 bagi akaun sedia ada.

Pengarah Urusan Bank Islam, dato’ Zukri Samat berkata selain merupakan salah satu aktiviti Program Sekolah Angkat Bank Islam, peraduan tersebut juga berhasrat untuk menghargai para penyimpan yang terdiri daripada anak-anak kecil dan ibubapa masing-masing.

“Pendeposit juga dilindungi oleh Pelan Takaful Keluarga Berkelompok secara percuma dan layak mendapat manfaat maksima sehingga RM5,000 bergantung kepada purata baki harian bulanan sekurang-kurangnya RM500.00.“

”Manfaat akan diberikan dalam bentuk tunai berdasarkan syarat dan peraturan tertentu,” katanya dalam ucapan yang dibacakan oleh Pengurus Kawasan Wilayah Tengah Bank Islam, Ghazali Md Isa, di sini hari ini.  Turut hadir ialah Guru Besar sekolah berkenaan, Ustaz Razali Amat Sehab dan En. Mohd Ali Mohd Yusof, dari BNM.

Akaun Wadi terbuka kepada kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dan menggunakan kontrak Mudharabah iaitu perkongsian keuntungan berdasarkan nisbah yang dipersetujui antara penyimpan dengan pihak bank. Setiap pendeposit layak menjadi ahli Kelab Wadi dan menyertai aktivitinya secara automatik.

Beliau berkata, Bank Islam menjangkakan penyertaan seramai mungkin daripada sekolah-sekolah rendah seluruh negara terutamanya daripada 450 buah sekolah angkatnya dan sekolah-sekolah lain yang sudah lama berurusan dengan Bank Islam.

Katanya,  peraduan seumpama ini bukan sahaja dapat melatih pelajar untuk menyemai sikap berjimat-cermat sejak dari kecil lagi tetapi juga berbelanja wang yang disimpan secara berhemah. Tambahan pula,  peraduan yang mengambil sempena hari dan bulan kemerdekaan negara ini akan menyemarakkan lagi semangat patriotik anak-anak kecil kita.

Beliau juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan penghargaan terima kasih kepada guru besar dan kakitangan SR Agama Sungai Kantan yang sudi menjadi tuan rumah pelancaran Peraduan Mewarna Merdeka, BNM dan Kementerian Pelajaran amnya.

Sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi En. Ismail Taib, Pengurus, Pemasaran & Perniagaan, Perbankan Pengguna di talian 03- 26168000 samb. 3694 atau En. Mohamad Shahizam Fauzi, Komunikasi Korporat di talian 03-2616 8049.

Print Friendly
Bank Islam