Isnin, 11 Disember 2017, 22 Rabiulawal 1439H Waktu Solat:
KL Imsak 5:38 | Subuh 5:48 | Syuruk 7:07 | Zohor 1:09 | Asar 4:32 | Maghrib 7:05 | Isyak 8:20

Bank Islam dan Bank Simpanan Nasional Sedia Terima Permohonan Untuk Program Pembiayaan Perumahan Rakyat Kepada Golongan Berpendapatan Tidak Tetap


KUALA LUMPUR:  Selasa [8 Januari, 2008]   –    Dalam usaha membantu golongan berpendapatan tidak tetap, Kerajaan telah memperuntukkan RM50 juta dana yang dibentangkan oleh YAB Perdana Menteri dalam Belanjawan 2008 baru-baru ini untuk membolehkan golongan yang berpendapatan tidak tetap seperti petani, nelayan dan peniaga kecil memiliki rumah sendiri. Dua bank yang telah dilantik oleh Kerajaan untuk mengendalikan pembiayaan di bawah Program Pembiayaan Perumahan Rakyat ini adalah Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) dan Bank Simpanan Nasional (BSN). Orang ramai boleh membuat permohonan bagi pakej ini dengan mengunjungi semua 90 cawangan Bank Islam dan 375 cawangan BSN bermula 1 Januari 2008.

Kemudahan ini diwujudkan khusus untuk pelanggan yang mempunyai keupayaan untuk membayar ansuran bulanan kepada Bank tetapi tidak dapat memberikan bukti pendapatan tetap mereka.  Kadar pembiayaan maksima yang ditawarkan adalah RM60,000.00 dengan tempoh bayaran balik sehingga 40 tahun. Antara syarat kelayakan pemohon adalah berumur 18 hingga 65 tahun dan pertama kali membeli rumah. Pembiayaan dua generasi juga dibolehkan di mana tempoh pembiayaan maksimum dikira daripada pelanggan yang termuda. Sebagai contoh, tempoh maksimum pembiayaan bersama bapa dan anak adalah dikira daripada umur si anak.

Peruntukan RM50 juta kepada Bank Islam dan BSN dilihat sebagai langkah prihatin Kerajaan ke arah mempertingkatkan tahap sosio-ekonomi rakyat Malaysia, terutamanya golongan berpendapatan rendah yang sebelum ini menghadapi kesukaran untuk membeli rumah atau memiliki rumah sendiri.

Print Friendly
Bank Islam