Saturday, 21 October 2017, 30 Muharam 1439H Solat Time:
KL Imsak 5:31 | Subuh 5:41 | Syuruk 6:56 | Zohor 1:01 | Asar 4:18 | Maghrib 7:00 | Isyak 8:10

Waqf


PENGERTIAN WAKAF

Wakaf ialah apa-apa harta yang ditahan hak pewakaf ke atas harta tersebut daripada sebarang urusan jual beli, pewarisan, hibah dan wasiat di samping mengekalkan sumber fizikalnya (‘ain). Manfaat harta yang diwakafkan adalah untuk kebajikan umum atau khusus (yang ditetapkan) dengan niat untuk mendekatkan diri pewakaf kepada Allah S.W.T. Pendapatan, perolehan atau manfaat daripada harta wakaf itu perlu dibelanjakan untuk kebaikan dan kebajikan sebagai pendampingan diri pewakaf kepada Allah S.W.T. Dengan sebab itu, harta tersebut tidak lagi menjadi milik pewakaf, tidak boleh diambil kembali dan tidak boleh dimiliki oleh sesiapa.

PENSYARIATAN WAKAF

Pensyariatan dalam pewakafan harta adalah berasaskan tuntutan ayat berikut:

wakaf1

Maksudnya:

“Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian daripada apa yang kamu sayangi dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya”.

(Surah Al-Imran: Ayat 92)

Anas R.A. meriwayatkan bahawa sebaik mendengar ayat di atas, Abu Talhah telah meminta penjelasan lanjut daripada Rasulullah S.A.W. tentang maksud ayat tersebut. Rasulullah S.A.W. telah menjelaskan bahawa antara sedekah harta yang dimaksudkan ayat ini ialah ibadat wakaf.

Al-Rafi’i (pengikut mazhab Shafie) telah mentafsirkan maksud kebajikan dalam ayat di atas adalah wakaf, iaitu satu-satunya ibadat dikategorikan sebagai sedekah jariah kerana kebajikan yang diperolehi oleh pewakaf adalah ganjaran pahala berterusan walaupun pewakafnya telah meninggal dunia, selagi harta tersebut dimanfaatkan untuk kebajikan seperti yang dinyatakan dalam hadis berikut:

wakaf2

Maksudnya:

Daripada Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah S.A.W. telah bersabda: “Apabila mati seseorang anak Adam, akan terhentilah amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah atau ilmu yang dimanfaatkannya atau anak yang soleh yang mendoakannya”.

(Hadis Riwayat Muslim)

Harta yang telah diwakafkan adalah sesuatu pemilikan yang tidak mutlak oleh pewakaf dan penerima wakaf kerana ‘ain harta yang diwakafkan kembali menjadi hak Allah S.W.T. Pewakaf tidak boleh menuntut kembali atau menjual, menghadiah, menghibah dan mewariskan harta yang telah diwakafkan. Pemegang amanah wakaf wajib menunaikan hasrat pewakaf, iaitu menggunakan manfaat atau hasil harta wakaf mengikut apa yang dilafazkan oleh pewakaf.

RUKUN WAKAF

Menurut pendapat jumhur ulama (Maliki, Shafie dan Hambali), sesuatu wakaf hendaklah melengkapi empat rukun iaitu:

1 Waqif, iaitu orang yang mewakafkan harta wakaf;
2 Mawquf, iaitu harta yang hendak diwakafkan;
3 Mawquf alaih, iaitu orang yang menerima harta wakaf sama ada penerimanya orang tertentu (ma’ayyan),atau penerimanya bukan tertentu (ghayr mu’ayyan) seperti fakir miskin, anak yatim, masjid, sekolah dan sebagainya; dan
4 Sighah, iaitu lafaz yang diucapkan oleh waqif yang terdiri daripada ijab (tawaran) dan qabul (penerimaan), dan sama ada dalam bentuk jelas (soreh) atau sindiran (kinayah).

SYARAT WAKAF

Setiap rukun di atas tertakluk kepada syarat-syarat tertentu iaitu:

  1. Pewakaf hendaklah seorang yang berakal, merdeka, baligh, tidak dipaksa, memiliki harta dan berkuasa dalam menguruskan hartanya;
  2. Harta yang akan diwakafkan hendaklah terdiri daripada harta yang diketahui dan ditentukan, harta yang boleh dimiliki, mempunyai manfaat dan diharuskan di sisi syarak serta harta yang kekal;
  3. Penerima harta wakaf hendaklah wujud ketika wakaf dibuat dan ditentukan, boleh memiliki harta, bukan diri sendiri dan tidak bertujuan maksiat; dan
  4. Sighah iaitu lafaz ijab dan qabul dan ia hendaklah diucapkan untuk selama-lamanya (ta’bid), tujuan atau matlamat pemberian yang jelas, tidak disyaratkan dengan sesuatu dan lafaz yang mengikat (al-ilzam).

HIKMAH DAN KELEBIHAN BERWAKAF

Wakaf merupakan salah satu instrumen tabarru’ (sadaqah) atau dikenali sebagai sedekah jariah yang berkekalan pahalanya. Wakaf mempunyai hikmah dan kelebihan yang tersendiri jika ia dilakukan dengan niat yang ikhlas kepada Allah S.W.T. antara hikmahnya ialah:

  1. Mendekatkan diri kepada Allah S.W.T. (taqarrub ilallah);
  2. Menzahirkan pengabdian diri (ta’abbud) kepada Allah S.W.T.;
  3. Mendapat pahala kebajikan yang berkekalan semasa hidup dan selepas waqif meninggal dunia;
  4. Berkongsi manfaat harta wakaf dalam kalangan masyarakat Islam;
  5. Mengukuhkan perpaduan ummah; dan
  6. Memastikan pengekalan pemilikan dan perkongsian aset umat Islam.

TAKRIF WAKAF TUNAI

Wakaf Tunai (cash waqf) bermaksud mewakafkan wang tunai kepada mana-mana pemegang amanah wakaf, di mana wang modalnya dikekalkan kepada penerima wakaf (mauquf alaih). Para fuqaha salaf menggunakan istilah wakaf wang dirham dan wang dinar (waqf al-darahim waqf al-dananir). Wang-wang tersebut akan dikumpulkan dan kemudiannya ditukarkan kepada harta kekal yang dinamakan badal. Manfaat hasil wakaf tunai tersebut akan digunakan untuk kebajikan dan pembangunan ummah.

OBJEKTIF WAKAF TUNAI

Objektif pelaksanaan Wakaf Tunai ialah:

  1. Menyuburkan semula amalan berwakaf yang merupakan sedekah jariah yang sangat dituntut dalam Islam;
  2. Menyediakan kemudahan alternatif kepada umat Islam untuk menyertai ibadat wakaf mengikut kemampuan masing-masing tanpa melibatkan harta/aset kekal;
  3. Menggalakkan umat Islam mengiktiraf wakaf sebagai sistem yang diyakini berpotensi untuk menggerakkan pembangunan sosio-ekonomi ummah;
  4. Menanam dan mendidik sikap, semangat dan kerjasama yang erat sesama umat Islam berkonsepkan ukhuwah Islamiah dan semangat taawun dalam Islam;
  5. Memperbanyakkan lagi pegangan aset umat Islam hasil daripada pengumpulan wang tunai dan disalurkan untuk kepentingan agama dan pembangunan sosio-ekonomi ummah;
  6. Dapat melaksanakan pembangunan harta-harta wakaf dan sosio-ekonomi ummah dengan skop yang lebih luas, dinamik dan bersepadu;
  7. Meluaskan saluran kebajikan dengan lebih holistik, sistematik dan berkesan; dan
  8. Melahir serta menzahirkan pembangunan institusi wakaf yang lebih produktif dan berwibawa.

Rujukan: Manual Pengurusan Wakaf Tunai, Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), Jabatan Perdana Menteri

Print Friendly
Bank Islam