Tuesday, 24 October 2017, 3 Safar 1439H Solat Time:
KL Imsak 5:31 | Subuh 5:41 | Syuruk 6:56 | Zohor 1:00 | Asar 4:19 | Maghrib 6:59 | Isyak 8:10

BIMB Foreign Currency Clearing Agency Sdn Bhd (BIFCA) – Anak Syarikat Bank Islam Malaysia Berhad Serah Zakat Perniagaan Lebih RM800 Ribu


Laksana Tanggungjawab Hulur Bantuan Kepada Yang Memerlukan

KUALA LUMPUR, Selasa, [21 Disember 2010] - BIMB Foreign Currency Clearing Agency Sdn. Bhd. (BIFCA), anak syarikat Bank Islam Malaysia Berhad hari inimenyerahkan wang Zakat perniagaannya berjumlah lebih RM800 ribu kepada beberapa buah Rumah Anak Yatim, Sekolah Agama, Masjid dan Surau-Surau serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang layak menerima wang Zakat berkenaan.

Cek Zakat tersebut telah disampaikan oleh Y.Bhg. Dato’ Wan Ismail Wan Yusoh,Pengurus Besar, Hubungan Strategik Bank Islam, kepada wakil penerima yang hadir di satu majlis penyerahan cek yang telah diadakan di ibu kota hari ini. Turut hadir dimajlis berkenaan adalah Encik Fazri Mohd Zain, Ketua Pegawai Eksekutif, BIFCA.

Di antara  penerima sumbangan wang Zakat BIFCA pada tahun ini adalah Rumah Anak Yatim Shifa’ (Setapak), menerima bantuan Zakat berjumlah RM100,000, Yayasan Anak Yatim & Kebajikan Murid Islam (Semenyih), sebanyak RM40,000, Sekolah KAFA Integrasi Al-Mubarak (Petaling Jaya), sebanyak RM50,000, Yayasan Pelajaran MARA sebanyak RM80,000 dan Islamic Outreach – ABIM  sebanyak RM5,000.

Sumbangan turut diberikan kepada NGO Islam yang khusus menjalankan aktiviti keIslaman dan kemanusiaan seperti Yayasan Prihatin Titiwangsa sebanyak RM50,000 dan Yayasan Kemanusiaan Muslim Aid Malaysia sebanyak RM27,802,

Sementara itu, wang Zakat tersebut turut disalurkan kepada Masjid & Surau-Surau yang memerlukan bantuan untuk menampung kos pembinaan Surau dan membaik pulih kerosakan serta kos untuk pembelian van jenazah. Surau Raudatul Jannah (Semenyih), menerima sumbangan Zakat sebanyak RM50,000, Masjid Bandar Tasik Puteri (Rawang), sebanyak RM30,000, Surau An-Nur (Seri Kembangan), sebanyak RM10,000, Surau Al-Falah (Mantin), RM40,000, Surau An-Nadwah (Kajang), sebanyak RM9,500, Masjid Kampung Batu 3 (Semenyih), sebanyak RM30,000 dan Surau Nurul Hidayah (Hulu Langat), sebanyak RM50,000.

Sumbangan ini diharapkan dapat menerapkan semangat saling bantu-membantu seterusnya mewujudkan nilai-nilai murni dikalangan masyarakat. Bank Islam dan anak syarikatnya sebagai salah sebuah bank yang prihatin terutamanya dalam membela nasib-nasib mereka yang kurang bernasib baik akan terus menyalurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan.

Print Friendly
Bank Islam