Saturday, 16 December 2017, 27 Rabiulawal 1439H Solat Time:
KL Imsak 5:40 | Subuh 5:50 | Syuruk 7:10 | Zohor 1:12 | Asar 4:34 | Maghrib 7:08 | Isyak 8:23

Bank Islam Tandatangan Perjanjian Kolaborasi Dengan KOPSYA


Usahasama Memberi Kemudahan Perbankan kepada KOPSYA

KUALA LUMPUR, Jumaat, 10 Februari 2012 – Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam” atau “Bank”) akanmeyediakan penyelesaian perbankan yang lengkap kepada Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad (KOPSYA) di bawah perjanjian usahasama strategik yang ditandatangani oleh kedua-dua pihak hari ini.

Di bawah MoU yang ditandatangani dan disaksikan oleh Pengerusi Bank Islam Bank Islam, Y.Bhg. Dato’ Zamani Abdul Ghani dan Presiden Angkasa merangkap Pengerusi KOPSYA Angkasa Berhad, Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Hj Mohd Ali Hj Baharum, Bank Islam akan menawarkan keseluruhan perkhidmatan kewangannya yang berlandaskan Syariah kepada KOPSYA, membolehkan badan itu untuk mendapat produk serta kemudahan perbankan terkini.

Di bawah syarat-syarat perjanjian ini, Bank Islam telah bersetuju untuk bekerjasama dengan KOPSYA dalam mengenalpasti struktur perkhidmatan perbankan yang paling sesuai untuk KOPSYA dan ahli-ahlinya untuk menjalankan urusniaga kewangan mereka dengan lebih efektif. Ini boleh merangkumi khidmat Perbankan Pelaburan Korporat, Perbendaharaan dan Pengurusan Tunai.

Pengarah Urusan Bank Islam, Y.Bhg. Dato’ Sri Zukri Samat berkata usahasama ini akan memberi manfaat kepada KOPSYA dan Bank Islam dalam usaha mereka untuk mengembang dan menjalankan urusniaga mereka dengan lebih efisien.

“Bank Islam akan menggunakan segala kepakaran serta pengalamannya di dalam sistem perbankan berlandaskan Syariah untuk memberi khidmat nasihat kepada KOPSYA berkenaan dengan produk kewangan Syariah terkini serta membantu KOPSYA dalam memastikan ahlinya-ahlinya mendapat perkhidmatan perbankan yang terkini dan terbaik.”

“Di samping membolehkan kedua-dua pihak memberi perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan masing-masing, ia juga akan memartabatkan industri kewangan Islam serta mendedahkan KOPSYA dan ahli-ahlinya kepada produk dan perkhidmatan terkini di dalam industri kewangan,” tambah beliau.

Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Hj Mohd Ali Hj Baharum berkata usahasama ini memberi dimensi baharu ke arah perkembangan operasi KOPSYA.

“KOPSYA bertujuan untuk membantu badan-badan koperasi di negara ini untuk megembangkan urusan perniagaan mereka, dan usahasama dengan Bank Islam ini akan membolehkan KOPSYA mencapai objektif tersebut,” kata beliau sambil menambah, “Sebagai institusi kewangan Islam yang berwibawa serta terkenal dengan produk dan khidmatnya yang inovatif, Bank Islam membolehkan KOPSYA serta ahli-ahlinya untuk menjalankan urusniaga mereka dengan lebih berkesan.”

Sebagai contohnya, dalam membantu ahli-ahli KOPSYA memudahkan operasi pengurusan perniagaan mereka, Bank Islam akan menyediakan kemudahan perkhidmatan pendepositan ke akaun KOPSYA melalui perkhidmatan kaunter di semua cawangan Bank Islam seluruh negara, mesin deposit tunai, arahan tetap, perbankan Internet (bankislam.biz) dan Perbankan Mudah Alih TAP.

Bank Islam juga akan menjalankan program modernisasi untuk urusan pembayaran KOPSYA melalui ‘e-commerce’ dan terminal. Kedua-dua pihak juga telah bersetuju untuk membina platfom bagi mewujudkan jenama bersama kad kredit dan debit.

Sebagai perintis perbankan Islam di Malaysia, Bank Islam memainkan peranan penting dalam memperkenal serta memperkembangkan kemudahan kewangan Islam kepada umum. Dengan portfolio perkhidmatan dan produk yang inovatif, Bank Islam telah membuktikan keupayaannya dalam membawa industri perbankan Islam setaraf dengan industri perbankan konvensional.

Print Friendly
Bank Islam