Sunday, 22 October 2017, 1 Safar 1439H Solat Time:
KL Imsak 5:31 | Subuh 5:41 | Syuruk 6:56 | Zohor 1:01 | Asar 4:18 | Maghrib 7:00 | Isyak 8:10

Bank Islam Lancar Perkhidmatan Pajak Gadai Islam


Raih Potensi Besar Pasaran Gadaian Di Kelantan
KOTA BHARU, Rabu, [16 Jun 2010] - Pelancaran perkhidmatan pajak gadai Islam Bank Islam Malaysia Berhad (“Bank Islam”) telah dirasmikan oleh Dato’ Sri Mohd Najib Tun Hj Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia hari ini. Pelancaran perkhidmatan Ar-Rahnu (pajak gadai Islam) di Kota Bharu ini merupakan peristiwa bersejarah yang amat bermakna bagi Bank Islam selaku perintis perbankan Islam tanah air. Pengarah Urusan Bank Islam, Dato’ Sri Zukri Samat, berkata di majlis pelancaran: “melalui pelancaran Ar-Rahnu atau perkhidmatan pajak gadai Islam ini, Bank Islam boleh meyumbang ke arah memperkasakan satu segmen utama dalam ekonomi negara iaitu perusahaan kecil dan sederhana yang mewakili 99.2% daripada keseluruhan perniagaan dan menyediakan 56.4% daripada jumlah pekerjaan di Malaysia.” “Kami berpendapat bahawa Ar-Rahnu boleh dilaksanakan sebagai satu bentuk pembiayaan yang memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak kerana bukan sahaja ianya menguntungkan institusi yang menawarkan Ar-Rahnu malah pelanggan juga boleh mendapat wang tunai dengan mudah dan pada masa yang singkat memandangkan sifat semula jadi emas sebagai komoditi yang mempunyai kecairan tinggi dan kestabilan harga secara relatif,” katanya lagi. Dato’ Sri Zukri juga berkata, pihak Bank sedar bahawa potensi bagi perkhidmatan ini sangat besar memandangkan permintaan untuk kredit mikro seumpama ini semakin meningkat. Ini sekaligus memberi petunjuk bahawa semangat keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia sebenarnya masih utuh dan apa yang mereka perlukan adalah sumber pembiayaan yang mudah, cepat dan pada kadar yang berpatutan. “Keputusan ini telah dibuat bukan semata-mata untuk membolehkan Bank Islam memainkan peranan penting dalam memperluaskan lagi akses kepada pembiayaan berlandaskan Syariah untuk ditawarkan kepada perusahaan-perusahaan mikro dan perniagaan-perniagaan kecil sebagai menyahut seruan Y.A.B. Perdana Menteri kita dalam ucapan Bajet 2010 beliau pada Oktober lepas,” tambahnya lagi. Bank Islam telah menjalin usahasama strategik dengan mengambil alih 80% kepentingan dalam Farihan Corporation Sdn. Bhd. (“FCSB”), yang sudah lama beroperasi di Pasir Puteh, Kelantan. Optimis dengan skim pembiayaan ini, Bank Islam merancang untuk memperluaskan perniagaan Ar-Rahnunya di Kelantan, Terengganu, Pahang, Perlis, Kedah dan Wilayah Tengah dalam masa terdekat. Pada separuh penggal kedua tahun ini, Bank Islam merancang untuk membuka tiga buah lagi cawangan baharu, sekaligus meningkatkan jumlah cawangan kepada lima menjelang hujung tahun 2010. Pelanggan hanya akan dikenakan “upah simpan” iaitu suatu bentuk caj untuk menampung kos menyimpan barangan yang dipajak. Dengan perkhidmatan Ar-Rahnu, secara purata, pelanggan berpeluang mendapat pembiayaan sehingga 60 peratus daripada nilai emas yang dipajak. Di kesemua cawangan Ar-Rahnu Bank Islam, semua maklumat transaksi akan direkodkan dengan jelas dan lengkap di samping perlindungan Takaful bagi menjamin keselamatan barangan yang dipajak. Ar-Rahnu Bank Islam juga akan memaklumkan para pelanggan mengenai mana-mana perubahan melalui notis atau surat. Jika pelanggan gagal membayar semula pembiayaan yang diambil, sebarang lebihan hasil lelongan emas yang dipajak, selepas ditolak jumlah hutang dan upah simpan, akan dikembalikan kepada pelanggan. Kekuatan model perkhidmatan baharu ini berpaksi pada dua keistimewaan emas yang nyata, iaitu kecairannya yang tinggi dan kestabilan harga secara relatif yang menjamin kebolehjualan emas pada harga yang berpatutan. Ini merupakan prasyarat utama untuk layak menjadi cagaran.

Print Friendly
Bank Islam