Peta Laman |
 
  Perbankan Peribadi
  Perbankan Perniagaan
  Info Korporat
English   |   Bahasa Malaysia  
 
  Berikutnya  




Bank Islam Perluas Perkhidmatan Pajak Gadai Islam

 

Tambah Cawangan Ke - 3 Ar-Rahnu Di Pasir Mas, Kelantan

PASIR MAS, Kelantan, Jumaat, [29 Julai 2011] - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) pada Khamis, 28 Julai 2011 telah membuka sebuah lagi cawangan pajak gadai Islam, Ar-Rahnu di Pasir Mas, Kelantan berikutan sambutan menggalakkan daripada pelanggan terhadap perkhidmatan itu.  

Ar-Rahnu Bank Islam yang turut beroperasi di cawangan Pasir Puteh dan Kota Bharu, merancang memperluaskan perkhidmatan itu ke bandar lain seperti di Terengganu, Pahang, Perlis dan wilayah tengah tidak berapa lama lagi sejajar dengan usahanya untuk mengembangkan operasi berkenaan ke seluruh negara.

Pengarah Urusan Bank Islam, Dato’ Sri Zukri Samat berkata, pihaknya merancang membuka dua lagi cawangan baharu Ar-Rahnu di Tanah Merah, Kelantan dan Kelang, Selangor pada separuh kedua tahun ini, sekali gus meningkatkan jumlahnya kepada lima cawangan menjelang akhir 2011.

Menurutnya pembukaan cawangan baharu itu dijangka mampu memenuhi permintaan tinggi terhadap perkhidmatan tersebut kerana pajak gadai Islam kini semakin popular di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam.

Beliau turut berkata, “Peningkatan tahap kesedaran terhadap produk Ar-Rahnu di kalangan masyarakat juga menjadikannya sebagai satu alternatif kepada kebergantungan terhadap ceti haram atau ‘Ah Long’. Ini juga menunjukkan semangat keusahawanan di kalangan rakyat Malaysia masih utuh dan apa yang mereka perlukan adalah sumber pembiayaan yang mudah, cepat dan pada kadar berpatutan”.

Industri pajak gadai Islam kini terbukti sebagai penyelesaian segera kepada keperluan kewangan peribadi serta antara kaedah mendapatkan modal bagi peluang perniagaan. Selain daripada itu, Ar Rahnu juga merupakan saluran utama untuk bank memberi kemudahan kredit mikro kepada para usahawan kecil.

Cawangan baharu Ar-Rahnu Bank Islam di Pasir Mas ini akan diketuai oleh Encik Wan Mohamad Rafi Bin Wan Deris. Untuk lebih memudahkan lagi para pelanggan membuat urus niaga mereka, ia juga akan beroperasi pada hari Sabtu.  Waktu untuk berurus niaga akan bermula dari jam 8:30 pagi hingga 4:30 petang, Sabtu hingga Rabu, manakala untuk hari Khamis waktu urus niaga adalah 8.30 pagi hingga 12.30 petang. Cawangan ditutup pada hari cuti umum.


 
Paparan terbaik menggunakan Internet Explorer versi 7 dan ke atas.
© Bank Islam Malaysia Berhad (98127- X). All rights reserved.